Marilah Kita Berdoa Memohon Pertolongan Allah

Sunday, February 18, 2018

TAZKIRAH : MASIHKAH ADA TAUBAT BAGI DOSA YANG BERULANG?

1. Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. 

Ini berdasarkan firman Allah: maksudnya:
“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah Ali ‘Imran: 135-136).

Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan, ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya.

2. Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri. Ketika dia bertaubat, jika ia lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya. Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan mengharapkan keampunan. Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa. Jika taubat seperti itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas. Ia diterima Allah.
Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian, hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang sama. Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal, juga dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.

3. Taubat yang sebenar bukan satu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia bukan satu lakonan. Perasaan keinsafan yang hadir dalam jiwa seorang hamba bukannya perkara yang diada-adakan. Ia adalah cahayasu iman yang lahir dari kekudusan jiwa yang mengakui kebesaran Allah dan takutkan dosa. Apabila perasaan kerohanian itu wujud, maka seorang hamba pun bertaubat dengan penuh insaf dan nekad untuk tidak mengulangi. Siapakah yang mengetahui kewujudan perasaan itu dalam sesuatu jiwa? Sudah pasti hanya Allah dan insan yang bertaubat itu sendiri. Jika keadaan yang disebutkan itu berlaku, insan itu sebenarnya telah benar-benar bertaubat.

4. Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya. Kadang-kala dia terjatuh lagi dalam kesalahan setelah bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Ini –seperti yang dijelaskan- kegelinciran kedua atau ketiga dan seterusnya tidaklah bererti dia tidak ikhlas dalam taubatnya yang sebelum itu. Namun, kelemahannya menyebabkan dia berulang kali jatuh ke dalam dosa, sekalipun telah benar-benar insaf sebelumnya. Maka, jika hal ini berlaku dia hendaklah mengulangi taubat dan jangan berputus asa. Syaitan akan membisikkan perasaan putus asa dalam jiwa, sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima taubat.

5. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

6. Dari hadis di atas menggambarkan, selagi seseorang hamba Allah menyesal dan insaf, sekalipun telah berulang dosa, Allah Yang Maha Pengampun tetap mengampuninya. Namun, hendaklah kita berhati-hati kerana waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya mengawal dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya pergi.

7. Apapun, pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira besar mana pun dosa, berapa kali ia mengulanginya. Insan jangan berputus asa dari rahmat Allah. Firman Allah: (maksudnya):
“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53).
Putus asa dari rahmat Allah adalah bisikan syaitan yang enggan melihat hamba-hamba Allah kembali kepada Allah.

8. Antara cara untuk memboleh kita istiqamah dengan taubat kita ialah memohon pertolongan Allah agar kita tetap atas jalan hidayah. Al-Quran mengajar kita doa: (maksudnya)
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).

Nabi s.a.w pula selalu membanyakkan doa:
“Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan daku atas agamuMu” (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Abi ‘Asim).

9. Juga, antara langkah mengekalkan dalam kebaikan adalah dengan mendampingi mereka yang baik dan soleh. Teman yang baik dan mahukan kebaikan akan membawa kita berterusan dalam kebaikan. Begitulah sebaliknya. 

Firman Allah: (maksudnya)
“dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaanNya semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui jantung hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”. (Surah al-Kahfi: 28).
Hiduplah dalam lingkungan teman-teman yang selalu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

10. Maka, diingatkan jangan kita berputus asa dari rahmat Allah, dan jangan kita jadikan orang lain berputus asa dari rahmat Allah. Insan mempunyai peluang bertaubat sehingga nyawa ke halkumnya. Sabda Nabi:
“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi)
Penulis: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Moga Allah memberi taufik dan hidayah untuk kita sentiasa berada dalam peliharaanNya.



Thursday, February 15, 2018

SABAR & SOLAT




TAZKIRAH : SABAR & SOLAT

Kebiasaan Rasul sallallahu ‘alaihi wa sallam jika ada kesusahan atau kesulitan, baginda akan segera melaksanakan solat.

Allah Ta’ala berfirman, ‎وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’.” (Surah Al-Baqarah: 45)

Pengajaran ayat:

1- Bagi yang ingin meraih kebahagiaan dunia dan akhirat, maka minta tolonglah pada Allah dengan bersabar dan solat. Maqatil bin Hayan rahimahullah berkata tentang tafsiran ayat ini, “Mintalah tolong dalam mencari akhirat dengan sabar dalam melakukan kewajiban dan solat.” (Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azhim, 1: 379)

2- Ada ulama yang menafsirkan sabar dalam ayat di atas dengan puasa, sebagaimana dikatakan Mujahid. Kerana bulan Ramadhan disebut dengan bulan sabar. Sebagaimana disebutkan oleh Al-Qurthubi dan ulama lainnya. Dalam kitab Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azhim karya Ibnu Katsir, 1: 379.

3- Ada yang menyebutkan pula bahawa yang dimaksud sabar dalam ayat adalah menahan diri dari maksiat. Ada perkataan dari Umar bin Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah bahwa sabar itu ada dua perkara. Pertama, sabar dalam menghadapi musibah. Sabar yang lebih baik dari itu adalah sabar dalam meninggalkan yang Allah haramkan. Lihat Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azhim, 1: 380.

4- Hudzaifah bin Al-Yaman berkata bahwa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam ketika mendapati kesulitan dalam suatu urusan, beliau segera mengerjakan solat. (Hadis Riwayat Ibnu Jarir)

5- Orang yang khusyu’ dan tenang dalam solatnya, solat akan mudah baginya dan juga dia akan mudah untuk sabar. Kitab Ahkam Al-Qur’an Al-Karim.

6- Sabar akan memudahkan segala macam urusan. Begitu juga solat yang merupakan timbangan iman dan dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar akan memudahkan pelbagai urusan. Demikian menurut Syaikh As-Sa’di dalam kitab tafsirnya. 

Moga ini jadi pelajaran berharga untuk kita dalam menghadapi ujian kehidupan.

Saturday, September 6, 2014

Infographic: Just how deadly is Ebola?

http://m.aljazeera.com/story/20148248162913356

Friday, July 8, 2011

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara -

kita laungkan juga pesan merdeka:

Demokrasi sebenderang mentari

sehasrat hajat semurni harga diri.


Lama resah kita – demokrasi luka;

lama duka kita – demokrasi lara.

Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;

suara bebas yang utuh, kita idami!


Dua abad lalu Sam Adams berseru:

(di Boston dijirus teh ke laut biru):

Tak diperlu gempita sorak yang gebu,

diperlu hanya unggun api yang syahdu.


Kini menyalalah unggun sakti itu;

kini merebaklah nyala unggun itu.


- A. Samad Said

Tuesday, May 10, 2011

KEMANA PERGI SUBSIDI KAMI?



kalian rampas subsidi kami , entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu , wang mesti dicatu , kita menuju maju ..
...kalian kata : semua menderita , habis harta negara ..
kalian berbahasa ; bukan barang naik harga ,
cuma subsidi turun sahaja ..

kami orang desa , mungkin tidak pandai kira berjuta-juta ..
kami orang kecil kota , mungkin tiada sedemikian harta ..
jika kalian tipu sebegitu , biasanya kami diam selalu ..
tapi dapatkah kami dibohongi , tentang suapan saban hari ?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah .. ?
papa semakin parah.. ? wang semakin lelah ..?
jika semalam berlauk , hari ini cuma berkuah ..
kerana kerajaan kita sedang susah .. ?
maka subsidi kita terpaksa diserah ..

jika semalam kau makan sepinggan, hari ini separuh
kerana barang semakin angkuh , wang papa makin rapuh ..
apa yang dibisik pada anak berkopiah ke madrasah .. ?
makananmu sayang , sebahagiannya sudah hilang ..

jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari ?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi ..
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini ..
atau kami jadi insan curang ..
kami beritahu : cuma subsidi sahaja yang kurang ?
tiada apa yang hilang , nanti akan datang wang melayang ..

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi !
pernahkah kalian mengintip kehidupan kami ..
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati ..
kamu yang semput bagai melukut di kota kedekut ..
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa , menghitung setiap belanja

pernahkah kau merasa ?
rumah bocor yang lanjut usia ?
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak asak
siang kami sebak , malam kami sesak ..

sedangkan kalian manusia angkasa ..
istana permata dibina , kereta berjuta dirasa ..
elaun di serata , dari isteri sehingga seluruh keluarga ..
hidangan istimewa , konon meraya kemakmuran negara ..

tapi kami masih di sini .. di teratak ini ..
dengan lauk semalam
dengan hidangan yang tidak bertalam ..
dengan rumah yang suram ..
dengan wang yang hampir padam ..

tiada istana lawa .. tiada kereta berharga ..
tiada layanan di raja .. tiada baju bergaya ..
tiada kediaman menteri .. tiada hidangan v.i.p
tiada persen di sana sini .. tiada bahagian anak dan bini ..

tiba tiba kalian kata : kamilah beban negara ..
aduhai celaka bahasa yang kalian guna ..
kalian yang belasah , kami yang bersalah ..
kalian yang untung , hutang kami tanggung ..
kalian mewah melimpah , kami susah parah ..
kalian hilangkan wang , poket kami yang terbang ..
kalian bina istana , rumah kami jadi manga ..
kalian makan isi , kami dijadikan abdi ..

lantas , kalian rampas lagi subsidi ..
ke mana wang itu pergi nanti ?
jika kalian berhati suci , wajib menganti buat kami ..
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga ?
jika tidak untuk minyak kereta ?
mengapa tambang tidak dipotong sahaja ..
tapi entah berapa kali janji ..
konon : nanti kami ganti , kami ganti , kami ganti ..
hari demi hari , ceritanya pun tidak berbunyi lagi ..
kami terus termanggu di sini ..
kalian juga yang nikmati..
kami hanya mengigit jari ..

kembalikanlah kepada kami harta negara ..
jangan hanya kalian sahaja yang merasa ..

dr maza
July 2010

Sunday, May 8, 2011

Mandi Rasuah

Dia mula mandi air rasuah
konon dari pancur air amanah.
Dia bersihkan (atau kotorkan)?
Yang penting dia bermandi
bawah pancur harta dan kuasa.

Dia luaskan dewan layandiri
berlatih menjual apa saja—
rumah, tanah, ekuiti, maruah.
Dia menyanyikan lagu ringgit
bagi kelompoknya yang buncit.

Setiap tahun dia galak bertani,
menyuburkan slogana itu-ini.
Apa sajalah asal dipercaya.
Rakyat yang dilatih berasuah
mula nyanyi lagu-lagu dosa.

Dia dipupuk menjadi peniaga
demi untung, deminya saja.
Dia diasuh menghitung ringgit,
dijanji harta sungai dan bukit
tanpa ilmu pun dia tetap bangkit.

Dia tergalak bermandi air rasuah.
Kita bahagia, kita bersih, jeritnya.

—A. SAMAD SAID.

Sunday, April 10, 2011

assalamualaikum...

Published with Blogger-droid v1.6.8
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Share |